Israel Musnahkan 10 Bangunan Unrwa Di Gaza Dalam Tempoh Empat Hari

ISTANBUL, 15 Sept — Serangan Israel memusnahkan 10 bangunan milik agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA) di Bandar Gaza dalam tempoh empat hari lalu, termasuk tujuh sekolah serta dua klinik yang berfungsi sebagai pusat perlindungan untuk ribuan penduduk Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Tiada tempat selamat di Gaza. Tiada siapa selamat. Serangan udara di Bandar Gaza dan utara semakin memuncak. Semakin ramai orang terpaksa meninggalkan rumah, hilang arah dan terumbang-ambing ke destinasi yang tidak diketahui,” kata Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini menerusi hantaran di platform X pada Ahad.

Beliau berkata bahawa UNRWA terpaksa menghentikan perkhidmatan kesihatan di kem pelarian Al-Shati.

“Kami terpaksa menghentikan rawatan kesihatan di Kem Pantai (Al-Shati), satu-satunya pusat kesihatan yang ada di utara Wadi Gaza. 

“Perkhidmatan air dan sanitasi penting kini hanya beroperasi pada separuh kapasiti,” jelasnya.

Pasukan kami seramai 11,000 orang terus menyalurkan perkhidmatan kritikal di kawasan lain di utara Gaza dan seluruh Semenanjung Gaza, kata beliau sambil memuji ketabahan kakitangan berkhidmat dalam keadaan “tidak berperikemanusiaan.”

Tentera Israel dilaporkan menyasarkan bangunan tinggi di Bandar Gaza sebagai sebahagian daripada operasi berterusan untuk menawan kawasan itu, sambil mengarahkan penduduk berpindah ke zon yang digelar “selamat” di Al-Mawasi, Khan Younis – kawasan yang sudah lebih 100 kali menjadi sasaran tembakan Israel sehingga meragut ratusan nyawa orang awam.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, tentera Israel telah memusnahkan 1,600 menara dan bangunan kediaman di Bandar Gaza sejak 11 Ogos, selain 13,000 khemah, menyebabkan lebih 100,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Sebahagian besar penduduk Bandar Gaza kini bersesak di kawasan kejiranan barat, yang sejak Jumaat menjadi sasaran pengeboman yang berterusan.

Perang Israel yang berlarutan di Gaza sejak Oktober 2023 telah meragut hampir 65,000 nyawa penduduk Palestin serta memusnahkan wilayah itu yang kini berdepan kebuluran.