Isu Sempadan Malaysia Dan Indonesia Diselesaikan Secara Rundingan Dan Undang-undang – PM Anwar

JAKARTA, 29 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak pernah mengambil sikap agresif berkaitan isu sempadan dengan Indonesia, termasuk di Laut Sulawesi, sebaliknya mengambil pendekatan mengikut undang-undang dan rundingan.

Anwar yang dalam lawatan kerja ke Indonesia berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor juga turut bersamanya dalam delegasi lawatan berkenaan, bagi memudahkan proses rundingan berkenaan bersama Indonesia.

“Ia mengikut undang-undang, kita tidak mengambil sikap agresif, jangan menceroboh kawasan masing-masing,” katanya semasa pertemuan bersama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) dan pemimpin redaksi (pemred@ketua-ketua pengarang) Indonesia, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden ISWAMI Malaysia Ashwad Ismail, Presiden ISWAMI Indonesia Asro Kamal Rokan, Timbalan Presiden ISWAMI Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta wakil Ketua Forum Pemred Taufiq Rahman.

Anwar yang tiba di Jakarta pada Isnin turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Isu Laut Sulawesi merupakan isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia yang terletak di antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah yang timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.

Ketegangan isu berkenaan berlaku pada 2005 sehingga ISWAMI ditubuhkan, yang dianggotai ketua-ketua pengarang media kedua-dua negara, bagi membentuk satu naratif perkongsian maklumat, dalam meredakan isu-isu semasa berkepentingan kedua-dua negara.

Kementerian Luar dalam jawapan bertulis di portal Parlimen pada 22 Julai lepas berkata Malaysia berpendirian bahawa Blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi yang dituntut Indonesia, merupakan sebahagian daripada kawasan kedaulatan Malaysia.

Kementerian Luar memaklumkan pendirian itu berdasarkan undang-undang antarabangsa yang terhasil selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2002.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda