Jalan Menuju ke Kedamaian di Bawah Kaki Kita, Kekerasan Takkan Bawa Keamanan Sebenar – Wang Yi

Jalan menuju ke kedamaian adalah di bawah kaki kita, dan sejarah akan mempersoalkan keikhlasan pelbagai pihak berkepentingan.

Menteri Luar China, Wang Yi berkata demikian ketika diminta menjelaskan pendirian China dalam isu nuklear Iran dan situasi semasa di Asia Barat, pada sidang media setelah bertemu dengan rakan sejawatnya dari Perancis, Jean Noel Barrot di Paris pada Jumaat.

Beliau berkata, konflik ketenteraan yang berlaku antara Israel dengan Iran tidak sepatutnya berulang lagi.

“Peperangan tidak dapat menyelesaikan masalah nuklear Iran, lebih-lebih lagi penyalahgunaan kekerasan akan mendatangkan konflik lebih besar,” kata beliau.

Di samping itu, Wang Yi mengulas bahawa Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan pengeboman ke atas kemudahan nuklear sebuah negara berdaulat, mewujudkan duluan yang amat berbahaya.

Beliau menekankan, isu Palestin, sebagai inti pati isu Asia Barat, tidak boleh dielakkan daripada penyelesaian masalah nuklear Iran, sementara ‘Penyelesaian Dua Negara’ adalah satu-satunya jalan keluar bagi menamatkan krisis di Asia Barat.

Wang Yi berkata, China dan Perancis, sebagai dua anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perlu menjunjung tinggi keadilan dan memikul tanggungjawab untuk menyokong konflik diselesaikan menerusi dialog dan rundingan.

“China bersedia berusaha bersama Perancis untuk mewujudkan matlamat tersebut,” kata Wang.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda