“Janji Cahaya, Temui Keindahan”: Anugerah Panda Emas Ke-2 Berlangsung di Chengdu

Anugerah Panda Emas edisi ke-2 yang bertema  “Janji Cahaya, Temui Keindahan” berlangsung meriah di bandar Chengdu, provinsi Sichuan pada 12 hingga 13 September.

Penganjuran kali ini menampilkan tiga acara utama iaitu Forum Kebudayaan Antarabangsa Panda Emas 2025, Gala Panda Emas dan Malam Panda Emas.

Semalam (12 Sept), “Malam Panda Emas” membuka tirai dengan persembahan budaya yang menampilkan keunikan nuansa Ba-Shu (Sichuan), sekali gus menyambut tetamu antarabangsa dengan penuh warna-warni.

Sementara itu, Forum Kebudayaan Antarabangsa Panda Emas 2025 yang berlangsung hari ini menghimpunkan pemain industri kreatif dari dalam serta luar negara untuk membincangkan pelbagai topik termasuk pemupukan kuasa produktif kualiti baharu dalam sektor budaya menerusi inovasi teknologi dan cabaran industri filem serta televisyen bagi mendorong pembelajaran dan pertukaran sesama tamadun.

Forum tersebut turut menyaksikan pelancaran “Rancangan Kerjasama Imejan Global Panda Emas”, sebuah inisiatif untuk membina ekosistem baharu kerjasama filem dan televisyen yang lebih inklusif, menghormati kepelbagaian budaya, serta menggalakkan ekspresi inovatif.

Kemuncak acara, Gala Panda Emas, dijadualkan pada malam ini dengan pengumuman 27 kategori anugerah utama, antaranya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Skrip Terbaik.

Menurut penganjur, edisi kali ini menerima 5,343 penyertaan dari 126 negara dan wilayah, termasuk 3,910 karya antarabangsa.

Turut membanggakan, pelakon Malaysia Jack Tan turut dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi watak lakonan sebagai “Ah Di” dalam filem tempatan Abang Adik.

Anugerah Panda Emas merupakan sebuah anugerah komunikasi antarabangsa yang bermediumkan filem dan televisyen serta menggunakan panda sebagai simbol kebudayaan, dengan matlamat untuk mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan. Ia bukan sekadar satu pertandingan filem antarabangsa, malah merupakan satu acara pertukaran tamadun, dan sedang berkembang menjadi sebuah jenama kebudayaan yang mempunyai pengaruh global.

Anugerah Panda Emas anjuran bersama Persekutuan Kumpulan Kesusasteraan dan Kesenian China (CFLAC) dan kerajaan tempatan provinsi Sichuan diadakan dua tahun sekali dan acara dwitahunan di Chengdu ini sekali gus mengukuhkan status bandar itu sebagai pusat kebudayaan antarabangsa.