Jemaah Haji Malaysia Ke-10 Meninggal Dunia Di Tanah Suci

MAKKAH, 9 Jun — Seorang lagi jemaah haji Malaysia disahkan meninggal dunia di Hospital King Abdullah di sini akibat serangan jantung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Allahyarham Abdul Malik Sudin, 62, menjadi jemaah haji Malaysia ke-10 yang meninggal dunia bagi musim haji 1446H/2025M.

“Allahyarham adalah jemaah dari Maktab 90A yang menginap di bangunan Rehab Al-Janadriyah dan telah selesai menjalani ibadah wukuf di Arafah pada Khamis lepas,” katanya kepada media selepas Program Majlis Penutupan Musim Haji 1446H oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di sini malam tadi.

Beliau berkata Lembaga Tabung Haji (TH) telah menghubungi waris Allahyarham dan akan menguruskan sepenuhnya segala keperluan berkaitan pengurusan jenazah serta kebajikan jemaah terlibat.

Mohd Na’im bersama seluruh barisan pengurusan tertinggi TH merakamkan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga Allahyarham, sekali gus mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan segala amal ibadah diterima Allah SWT.

Setakat ini, sembilan jemaah haji Malaysia disahkan meninggal dunia di Tanah Suci akibat serangan jantung dan seorang disebabkan jangkitan kuman serta kegagalan organ.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda