KUALA LUMPUR, 27 Jan — Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia membina satu perkongsian yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berkesan berbanding sebelum ini, kata Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D. Kagan.
Berucap pada majlis perpisahannya yang diadakan bersempena pelancaran jerayawara “Freedom 250” di sini pada Selasa malam, Kagan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kenangan “pahit manis” yang merupakan pengakhiran kerjaya diplomatiknya selama 35 tahun, termasuk lima tahun berkhidmat di Malaysia dalam dua tempoh berasingan.
“Bahagian pahit bagi saya ialah saya akan meninggalkan Malaysia pada 15 Feb, sekali gus menamatkan tugas saya sebagai Duta. Ia adalah satu keputusan yang amat sukar,” katanya dalam temu bual bersama media pada majlis itu.
“Saya berkhidmat selama 35 tahun dalam Jabatan Negara. Saya menikmati hampir setiap minitnya dan berpeluang menangani beberapa isu paling mencabar dan penting,” katanya.
Kagan berkata beliau berasa amat bangga kerana hubungan Kuala Lumpur – Washington kini berada pada tahap yang jauh lebih kukuh berbanding ketika beliau tiba dan kemajuan itu telah memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Pengajaran paling penting ialah AS dan Malaysia mempunyai banyak persamaan dan kita mampu melakukan banyak perkara apabila bekerjasama,” katanya.
Kagan menyifatkan kerjasama terkini dalam perjanjian damai Kemboja – Thailand serta Sidang Kemuncak ASEAN sebagai bukti keberkesanan perkongsian yang berkekalan itu.
Mengimbas kerjaya diplomatiknya yang merangkumi perkhidmatan di Timur Tengah, Eropah Timur, Afrika dan Indo-Pasifik, Kagan berkata Malaysia menyimpan kenangan istimewa buat beliau dan keluarganya, memandangkan beliau menghabiskan lebih banyak masa di Malaysia berbanding mana-mana negara lain di luar AS.
Beliau kembali ke Malaysia sebagai Duta AS pada Disember 2023, selepas pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Perwakilan dari 2014 hingga 2017.
“Saya akan merindui budaya, makanan dan dinamisme negara ini. Tetapi paling utama, saya akan merindui rakyat Malaysia – keramahan mereka dan semangat ‘Can-lah’,” katanya berseloroh.
Mengenai keputusannya untuk berundur, Kagan berkata ia merupakan “keputusan peribadi” yang didorong oleh hasrat untuk merebut peluang baharu dalam sektor swasta, sambil mengesahkan beliau akan menyertai sebuah kumpulan pemikir di Washington yang memberi tumpuan kepada pengajian Asia dan terus menyumbang kepada pengukuhan hubungan AS – Malaysia sebagai rakyat biasa.
Dalam sesi bersama media yang merangkumi pelbagai topik, beliau turut menyentuh mengenai perkongsian perniagaan antara kedua-dua negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, dengan merujuk kehadiran sekian lama syarikat tenaga Amerika serta minat yang semakin meningkat dalam sektor teknologi.
“Terdapat peluang besar dalam pelancongan dan sektor teknologi, termasuk pembinaan pusat data – kebanyakannya melibatkan syarikat Amerika atau pelaburan Amerika.
“Syarikat yang paling memahami Malaysia sanggup meningkatkan komitmen dan pelaburan mereka,” katanya.
Beliau juga menekankan kejayaan penglibatan peringkat tinggi serta kerjasama dalam bidang keselamatan, sains dan hubungan rakyat dengan rakyat, sambil menyifatkan Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) sebagai tonggak penting dalam mengukuhkan hubungan serantau.
Terdahulu, Kagan merasmikan sambutan “Freedom 250”, satu inisiatif selama setahun sempena ulang tahun ke-250 Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat, bersama pameran impak YSEALI di Me.reka, Publika.












Tinggalkan Balasan