Kemboja Failkan Aduan kepada Mahkamah Antarabangsa Berhubung Pertikaian Sempadan

PHNOM PENH, 14 Jun — Kemboja akan memfailkan aduan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Ahad berhubung empat kawasan sempadan yang dipertikaikan dengan Thailand, kata Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada Jumaat malam, lapor Xinhua.

Beliau berkata empat kawasan sempadan sensitif itu ialah Mom Bei, Kuil Ta Moan Thom, Kuil Ta Moan Tauch dan Kuil Ta Krabei.

Mom Bei, atau dikenali sebagai Segi Tiga Zamrud, merupakan kawasan sempadan yang dikongsi antara Kemboja, Thailand dan Laos.

Hun Manet membuat kenyataan itu menjelang mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) Kemboja-Thailand yang dijadual berlangsung pada Sabtu di Phnom Penh.

Beliau menegaskan bahawa sama ada Thailand bersetuju untuk menyertai Kemboja dalam mengemukakan kes itu ke ICJ atau sebaliknya, Kemboja akan memfailkan aduan secara unilateral.

“Saya ingin mengesahkan semula kepada rakyat bahawa walaupun pihak Thailand menolak atau berdiam diri, Kemboja akan tetap meneruskannya secara unilateral,” kata Hun Manet.

“Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa akan menghantar surat rasmi kepada ICJ pada Ahad, 15 Jun 2025, berkaitan pertikaian di keempat-empat kawasan berkenaan.”

Langkah itu diambil susulan pertempuran singkat antara tentera kedua-dua negara di kawasan Segi Tiga Zamrud pada 28 Mei lepas yang mengakibatkan kematian seorang askar Kemboja.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda