CANBERRA, 17 Jun — Kerajaan Australia sedang bersiap sedia untuk memindahkan rakyatnya dari Iran, menurut seorang pegawai kanan pada Selasa, lapor Xinhua.
Menteri Industri Pertahanan Pat Conroy berkata kepada stesen radio Australian Broadcasting Corporation(ABC) bahawa kerajaan sedang merancang operasi pemindahan rakyat negara itu di Iran yang ingin keluar susulan konflik di Timur Tengah.
“Ruang udara ditutup ketika ini, jadi pesawat tidak dapat masuk atau keluar, tetapi kami sedang menyediakan pelan untuk memindahkan rakyat Australia atau membantu mereka menaiki penerbangan komersial apabila ruang udara dibuka semula,” katanya.
Semua rakyat Australia yang berada di rantau itu telah dinasihatkan supaya mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (DFAT).
Menteri Luar Penny Wong pada Isnin berkata seramai 350 rakyat Australia telah memaklumkan kepada DFAT mengenai hasrat mereka untuk meninggalkan Iran manakala 300 orang telah berbuat demikian bagi Israel, dengan lebih banyak pendaftaran dijangka diterima.
Wong berkata kerajaan sedang mengusahakan pelbagai rancangan bagi membantu rakyat mereka keluar apabila keadaan selamat.
Tinggalkan Balasan