JAKARTA, 26 Jun — Perkhidmatan kereta api laju Jakarta–Bandung, yang dikenali sebagai Whoosh mencatat lebih 10 juta penumpang sejak mula beroperasi secara komersial pada Oktober 2023, menurut syarikat pengendali pada Khamis.
PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) memaklumkan bahawa pencapaian itu direkodkan antara 17 Okt 2023 hingga 25 Jun 2025, melibatkan sejumlah 10,014,707 penumpang merentasi 29,786 perjalanan.
“Angka ini mencerminkan sambutan tinggi masyarakat terhadap perkhidmatan Whoosh,” kata Pengurus Besar KCIC bagi Hal Ehwal Korporat, Eva Chairunisa dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, peningkatan jumlah penumpang turut disokong oleh usaha integrasi pengangkutan yang melibatkan kereta api pengantara, Transit Aliran Ringan (LRT) Jabodetabek, perkhidmatan bas dan teksi.
Eva turut memetik hasil kajian Pusat Penyelidikan Universiti Indonesia yang mendapati kereta api laju itu hanya menghasilkan 6.9 gram karbon dioksida (CO₂) bagi setiap kilometer penumpang, berbanding 12.7 gram oleh kenderaan persendirian.
Beliau berkata perkhidmatan itu juga berjaya mengurangkan pelepasan karbon sehingga 54 peratus dan berpotensi menjimatkan sekitar 2.91 bilion rupiah (kira-kira US$180,000) setahun dalam kos berkaitan kemalangan jalan raya.
Projek kereta api laju Whoosh bermula pada 2015, dengan pembinaan dilancarkan setahun kemudian dan mula beroperasi pada 2023 — menjadikan Indonesia negara pertama di Asia Tenggara yang mengendalikan rangkaian kereta api laju.
Projek itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan infrastruktur berskala besar yang disokong pelaburan China di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) Beijing.
Tinggalkan Balasan