Kesan Terhadap Kesihatan Daripada Konflik Di Iran Membimbangkan – WHO

GENEVA, 10 Mac — Konflik yang semakin memuncak di Asia Barat dan kesannya terhadap kesihatan awam amat membimbangkan, kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

“Kerosakan kemudahan petroleum di Iran berisiko mencemari makanan, air dan udara – bahaya yang boleh mendatangkan kesan kesihatan serius terutamanya kepada kanak-kanak, orang tua dan individu yang mempunyai masalah perubatan,” menurut hantaran Tedros pada platform media sosial X.

“Hujan bercampur minyak telah dilaporkan berlaku di beberapa bahagian negara itu,” tambahnya.

Mengenai Lubnan, beliau berkata sembilan pekerja kesihatan terbunuh dan 16 cedera sejak 28 Feb, ketika serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran bermula.

Selain itu, 43 pusat penjagaan kesihatan primer dan lima hospital telah ditutup atas arahan pengungsian, katanya.

“Saya menggesa semua pihak untuk mengurangkan dan mencegah risiko lebih lanjut terhadap kesihatan orang ramai, kesan ke atas kemudahan kesihatan dan pekerja, dan perkembangan selanjutnya konflik di seluruh rantau ini. Keamanan sentiasa ubat yang terbaik,” kata ketua WHO itu.