Ketua Pusat Perangi Keganasan AS Letak Jawatan, Bantah Perang Terhadap Iran

HAMILTON (Kanada), 17 Mac — Pengarah Pusat Perangi Keganasan   Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Joseph Kent, meletak jawatan pada Selasa sebagai tanda bantahan terhadap perang dilancarkan AS di Iran yang masih berlangsung, lapor  Anadolu Ajansi (AA).

“Saya tidak boleh menyokong perang yang sedang berlangsung di Iran atas dasar prinsip moral saya,” tulis Kent dalam sepucuk surat yang dikongsi di laman X.

Beliau berhujah bahawa Iran tidak mendatangkan ancaman mendadak kepada AS dan mendakwa konflik itu dicetuskan atas tekanan pihak luar.

Kent, seorang veteran yang pernah dikerahkan ke medan tempur sebanyak 11 kali, turut menyentuh mengenai kehilangan peribadi dengan menyifatkan dirinya sebagai “suami Bintang Emas”  selepas isterinya terkorban dalam peperangan sebelum ini.

“Saya tidak boleh menyokong tindakan menghantar generasi akan datang untuk bertempur dan terkorban dalam peperangan yang tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat Amerika mahupun mewajarkan pengorbanan nyawa rakyat kita,” tulisnya.

Beliau seterusnya mengkritik pegawai Israel dan beberapa tokoh media Amerika dengan mendakwa mereka mengelirukan pentadbiran kerajaan selain menyamakan situasi itu dengan Perang Iraq.

“Taktik sama yang digunakan Israel untuk mengheret kita ke dalam Perang Iraq yang mendatangkan bencana serta mengorbankan beribu-ribu nyawa lelaki dan wanita terbaik negara. Kita tidak boleh mengulangi kesilapan ini lagi.”

Dalam mesej yang ditujukan terus kepada Presiden AS Donald Trump, Kent menggesa beliau agar mengubah haluan.

“Anda boleh mengubah haluan dan merangka jalan baharu untuk negara kita, atau anda boleh membiarkan kita terus terjerumus ke arah kemerosotan dan kekacauan,” tulis beliau. “Keputusan di tangan anda.”