Konflik Sempadan Thailand-Kemboja: Menteri Luar ASEAN Gesa Tindakan Berhemah, Gencatan Senjata Serta-Merta

KUALA LUMPUR, 28 Julai — Menteri-Menteri Luar ASEAN menggesa Thailand dan Kemboja supaya mengambil langkah berhemah serta melaksanakan gencatan senjata serta-merta susulan pertikaian sempadan yang semakin meruncing antara kedua-dua negara.

Mereka turut menyeru agar kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan usaha damai.

Dalam kenyataan bertarikh 27 Julai, para menteri menyuarakan kebimbangan terhadap situasi semasa hingga mengakibatkan peningkatan angka kematian antara kedua-dua belah pihak, kemusnahan harta awam serta pemindahan besar-besaran penduduk di kawasan sempadan.

“Kami sekali lagi menggesa agar kedua-dua pihak menghentikan semua bentuk permusuhan, kembali ke meja rundingan untuk memulihkan keamanan dan kestabilan, serta menyelesaikan pertikaian dan perbezaan secara aman berasaskan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Piagam ASEAN, serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), dalam semangat kekeluargaan ASEAN, perpaduan dan kejiranan yang baik,” menurut kenyataan itu.

Para menteri turut mengulangi sokongan terhadap usaha yang diterajui oleh Pengerusi ASEAN bagi memudah cara dialog antara kedua-dua pihak dan menamatkan pertempuran.

Kenyataan itu dikeluarkan menjelang rundingan damai yang dijadual berlangsung antara Kemboja dan Thailand di Putrajaya pada 3 petang Isnin.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai masing-masing mengesahkan kehadiran mereka ke mesyuarat yang dinanti-nantikan itu, yang diusahakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN ketika ini.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda