MOSCOW, 26 Okt — Lebih 100 penyiasat kini terlibat dalam siasatan kes rompakan Muzium Louvre, dengan pelbagai data sedang dianalisis bagi mengesan keberadaan penjenayah, kata Pendakwa Raya Paris Laure Beccuau.
Beccuau berkata dalam temu bual bersama akhbar Perancis “Journal du Dimanche” bahawa pada peringkat awal, hanya sekitar 60 penyiasat terbabit, namun jumlah itu kini meningkat melebihi 100 orang dan mereka akan terus menjalankan siasatan selama mana yang diperlukan, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pakar forensik memperoleh lebih 150 sampel bukti termasuk DNA, cap jari dan kesan fizikal lain yang kini sedang dianalisis.
Penyiasat juga sedang meneliti rakaman kamera keselamatan bagi menentukan lokasi suspek, kata beliau.
Muzium Louvre di Paris dibuka semula kepada pengunjung pada Rabu, dua hari selepas insiden kecurian barangan kemas.
Pada 19 Okt lalu, sekumpulan pencuri memecah masuk ke muzium itu dan mencuri sembilan barang kemas daripada koleksi “Napoleon and the Empress”.
Barangan yang dicuri termasuk mahkota, subang, rantai dan kerongsang yang pernah dimiliki ratu serta maharani Perancis.
Menteri Dalam Negeri Perancis Laurent Nunez berkata pencuri memecah masuk muzium melalui tingkap menggunakan tangga, memotong cermin tingkap sebelum melarikan diri menaiki skuter.
Nunez tidak menolak kemungkinan penjenayah merupakan warga asing.
Akhbar “Le Parisien” melaporkan rompakan itu dilakukan oleh empat orang, dua daripadanya memasuki muzium.















Tinggalkan Balasan