Lebih 61 Juta Tan Sisa Puing Ditinggalkan Hasil Serangan Israel Selama 2 Tahun Di Gaza – PBB

ISTANBUL, 23 Okt — Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Khamis berkata lebih 61 juta tan sisa puing kini meliputi seluruh Semenanjung Gaza akibat lebih dua tahun peperangan oleh Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Seluruh kejiranan telah lenyap, dan keluarga kini mencari air serta tempat berlindung di celah runtuhan,” kata UNRWA menerusi platform X.

Agensi itu menegaskan bahawa misi kemanusiaan dan bantuan menyelamat nyawanya untuk rakyat Palestin diteruskan di Gaza walaupun berdepan sekatan berterusan Israel dan sekatan terhadap stok bantuan UNRWA.

Menurut Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini, agensi itu mempunyai bekalan ubat-ubatan, barangan penting dan makanan yang mencukupi untuk tiga bulan akan datang bagi keseluruhan penduduk Gaza.

Pada Oktober 2024, Parlimen Israel, Knesset, mengundi untuk menyekat operasi UNRWA di Tebing Barat yang diduduki dan Gaza berikutan dakwaan bahawa kakitangannya terlibat dalam serangan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Okt 2023.

Bagaimanapun pada Rabu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menolak dakwaan Israel dengan menyatakan bahawa “Israel tidak mengemukakan bukti kukuh bahawa sebahagian besar kakitangan UNRWA ialah ahli Hamas” atau terlibat dalam serangan berkenaan.

Mahkamah itu turut memutuskan bahawa Israel terikat di bawah Konvensyen Geneva untuk bersetuju dan memudahkan pelaksanaan operasi bantuan oleh negara ketiga dan kumpulan kemanusiaan yang tidak berat sebelah, termasuk UNRWA dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), bagi memastikan bantuan mencukupi sampai ke Semenanjung Gaza.

Sejak Oktober 2023, perang genosid Israel telah membunuh lebih 68,000 orang dan mencederakan lebih 170,000 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada 10 Okt berdasarkan pelan berfasa yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.