Lebih 700,000 Orang Hilang Tempat Tinggal Di Gaza Sejak Mac – PBB

HAMILTON (Kanada), 8 Julai — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyuarakan kebimbangan berhubung pemindahan besar-besaran secara paksa yang berterusan di Semenanjung Gaza dan memberi amaran bahawa lebih 700,000 orang telah kehilangan tempat tinggal sejak gencatan senjata tamat pada Mac susulan operasi ketenteraan Israel yang berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Semalam, pihak berkuasa Israel mengeluarkan satu lagi arahan pemindahan paksa bagi sebahagian kawasan Khan Younis untuk kali kedua dalam tempoh dua hari. Rakan sekerja kami menganggarkan lebih 50,000 orang berada di kawasan yang dijadualkan untuk dipindahkan,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric pada sidang media.

“Kami mengingatkan anda bahawa sejak gencatan senjata berakhir pada Mac, lebih 700,000 manusia telah kehilangan tempat tinggal di Gaza, ramai antara mereka kehilangan tempat tinggal lebih daripada sekali dan mereka tiada tempat selamat untuk dituju,” katanya.

Dujarric berkata rakyat Palestin “dilaporkan terbunuh pada hujung minggu lalu ketika cuba mendapatkan makanan”, selain memaklumkan hospital kini “sesak” dengan pesakit yang cedera ketika mencari bantuan.

“Kami sekali lagi dengan jelas mengutuk pembunuhan semua orang awam,” katanya, sambil merujuk laporan terbaharu Program Makanan Sedunia yang menyatakan “satu daripada setiap tiga orang di Gaza tidak makan selama beberapa hari, menyebabkan lebih ramai berisiko kebuluran.”

Beliau turut menggesa Israel membuka semua lintasan bagi memudahkan pengagihan bantuan di wilayah itu, sambil menekankan bahawa “untuk bulan keempat berturut-turut, pihak berkuasa Israel tidak membenarkan sebarang bekalan bahan api memasuki Gaza.”

“Bahan api adalah “nadi kehidupan” di Gaza dan pihak berkuasa Israel mesti membenarkan bekalan ini masuk tanpa sebarang kelewatan lagi,” katanya, sambil memberi amaran bahawa “Gaza boleh mengalami gangguan internet dalam masa terdekat akibat kekurangan bahan api.”

Beliau turut melaporkan bahawa tiga daripada lapan percubaan penyelarasan bantuan kemanusiaan telah ditolak Israel pada Ahad, sekali gus menghalang operasi kritikal.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda