NEW DELHI, 3 Feb — Mahkamah Agung India, pada Selasa mengecam keras platform Meta, khususnya WhatsApp, berhubung dasar privasinya, dengan menyatakan bahawa ia tidak akan membenarkan syarikat itu mengeksploitasi data peribadi rakyat India, lapor Xinhua.
Meta, sebuah syarikat teknologi Amerika, memiliki platform media sosial utama termasuk Facebook, Instagram, WhatsApp, dan Threads. Jutaan rakyat India menggunakan platform ini untuk bertukar mesej teks, video, dan reels video setiap hari.
Semasa mendengar rayuan yang dikemukakan oleh platform Meta mencabar keputusan Tribunal Rayuan Undang-Undang Syarikat Negara (NCLAT), panel tiga hakim mahkamah tertinggi berkata: “Anda tidak boleh bermain dengan hak privasi negara ini. Anda memperolok-olokkan perlembagaan negara ini. Kami tidak akan membenarkan hak mana-mana warganegara negara ini dicabuli.”
Meta telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan NCLAT yang mengekalkan penalti melebihi 2.13 bilion rupee India (sekitar US$23.62 juta) yang dikenakan oleh Suruhanjaya Persaingan India berhubung dasar privasi WhatsApp. Kemudian, jumlah penalti itu dilaporkan telah dibayar.
Menyentuh keberkesanan persetujuan pengguna terhadap dasar “terima atau tinggalkan” WhatsApp, Ketua Hakim Surya Kant berkata terdapat jutaan golongan miskin dan kurang berpendidikan yang akan bersetuju tanpa memahami implikasinya.
“Adakah seorang wanita miskin yang menjual buah di tepi jalan akan memahami dasar anda? Adakah pembantu rumah anda akan memahaminya? Anda mungkin telah mengumpul data daripada jutaan orang. Ini adalah cara yang tidak wajar untuk mencuri maklumat peribadi, dan kami tidak akan membenarkannya,” menurut laporan dalam talian India Today memetik ketua hakim.













Tinggalkan Balasan