HELSINKI, 8 Okt — Malaysia dan Finland terus memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan khususnya melibatkan ekonomi kitaran, pembangunan mampan dan penyelesaian iklim, menurut Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Helsinki Al-Fadil Adam.
Beliau berkata kepakaran Finland dalam model pendidikan mampan digabungkan dengan momentum reformasi pendidikan di Malaysia menyediakan asas kukuh bagi inisiatif kerjasama masa depan dalam pendidikan untuk pembangunan mampan.
“Terdapat peluang besar untuk membangunkan program bersama berasaskan kemahiran hijau, penyelesaian iklim dan prinsip ekonomi kitaran terutamanya dalam rangka Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan awal kanak-kanak yang sedang berkembang di Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika hadir dalam program Climate Solutions from Finland, di sini.
Beliau berkata Malaysia sedang melalui transformasi besar dalam sistem pendidikan dengan melaksanakan integrasi TVET seawal Tahun 1 menjelang 2027, dan Finland dikenal pasti sebagai rakan strategik dalam membentuk reformasi ini kerana kepakarannya dalam pembelajaran terapan dan pendidikan berfokuskan kemampanan.
Beliau berkata Malaysia boleh mencontohi sistem pendidikan negara Nordik itu, terutama dalam memupuk kesedaran tentang pembangunan mampan dan penyelesaian iklim sejak peringkat awal pendidikan.
“Kejayaan Finland terletak pada pendekatan holistik berpusatkan pelajar, iaitu pembelajaran berasaskan pengalaman serta diintegrasikan merentas pelbagai subjek bukan diajar secara terasing.
“Dengan amalan strategi sama, Malaysia dapat menyepadukan elemen kemampanan dalam semua bidang kurikulum bagi memastikan kanak-kanak memahami keterkaitan antara isu alam sekitar, sosial dan ekonomi sejak dari peringkat awal,” katanya.
Al-Fadil berkata beberapa inisiatif terkini turut memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan antaranya melalui Yayasan Khazanah yang menganjurkan lawatan penanda aras untuk pendidikan Malaysia ke Universiti Oulu bagi meninjau aspek utama model pendidikan Finland, termasuk pembelajaran digital, pendidikan berasaskan alam semula jadi, keadilan dan amalan inklusif yang sebahagian besarnya selari dengan prinsip kemampanan.
Beliau berkata Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut menganjurkan pertukaran akademik dengan institusi pendidikan Findland bagi meneroka penambahbaikan kaedah pengajaran yang menyokong persekitaran pembelajaran lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Selain itu, Al-Fadil berkata pertukaran dalam bidang pendidikan turut diperkukuh melalui kerjasama antara industri dan akademia dalam konteks lebih luas melibatkan ekonomi hijau.
“Agensi Malaysia seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) turut menyertai platform anjuran Finland seperti Vaasa Energy Week serta forum perniagaan ekonomi kitaran di Kuala Lumpur.
“Kerjasama ini membuka ruang baharu untuk mengukuhkan usaha dalam tenaga boleh diperbaharui, sistem grid pintar, mobiliti elektrik dan model perniagaan berasaskan ekonomi kitaran,” katanya.
Tinggalkan Balasan