Malaysia Hanya Menyelaras Rundingan Damai Thailand-Kemboja, Tidak Tetapkan Syarat – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Malaysia hanya bertindak sebagai penyelaras dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja tanpa menetapkan sebarang syarat, dengan keputusan sepenuhnya ditentukan oleh kedua-dua negara berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan Malaysia tidak pernah memaksa mana-mana pihak dalam proses perdamaian itu, sebaliknya berperanan sebagai pemudah cara bagi memastikan rundingan berlangsung dengan lancar.

“Kita hanya menyelaras. Saya masih ingat ketika memanggil kedua-dua perdana menteri (Thailand dan Kemboja), saya tegaskan bahawa keputusan adalah di tangan mereka. Malaysia hanya membantu menyelaras dan memohon agar perdamaian dicapai.

“Mereka yang menetapkan parameters, bukan kita yang meletakkan syarat. Kita tidak menentukan syarat rundingan damai itu. Malaysia hanya membantu menyelaras, dan persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang bertanyakan mengenai tekanan daripada pihak tertentu yang mengkritik peranan Malaysia dalam rundingan damai tersebut.