Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China Kelima yang berlangsung di Beijing Foreign Studies University (BFSU), bukan sekadar perkongsian berkaitan akademik, malah turut mencerminkan manifestasi hubungan budaya dan jalinan mesra antara China dan Malaysia.
Timbalan Presiden (Akademik dan Antarabangsa) BFSU, Profesor Zhao Gang berkata perkara itu mengambil kira hubungan kukuh yang terjalin antara kedua-dua negara sejajar sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik serta Tahun Persahabatan China-Malaysia pada 2024.
“Sepanjang lima dekad ini, kerjasama erat antara kedua-dua negara dilihat semakin kukuh, iaitu sejak bermulanya Perkongsian Strategik Komprehensif China-Malaysia yang diwujudkan pada tahun 2013 yang telah meningkatkan aspek kualiti ke tahap yang lebih tinggi dan memberi manfaat kepada rakyat serta kestabilan dan kemakmuran serantau,” katanya.
Pada tahun 2023, kedua-dua negara mengumumkan pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib China-Malaysia yang melambangkan kerjasama dua hala ke tahap lebih tinggi.
Menurut Profesor Zhao Gang, penyelidikan akademik dan pertukaran budaya mampu melangkaui sempadan, mengatasi perbezaan dan meningkatkan persefahaman.
“Dunia kini menghadapi titik balik sejarah dengan transformasi yang agak besar. Sebagai dua entiti ekonomi baharu yang penting di benua Asia, China dan Malaysia telah memikul tanggungjawab bersama dalam menghadapi cabaran, berkongsi pengalaman dan membina masa depan”.
Profesor Zhao Gang berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian dan Makan Malam sempena Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China Kelima yang berlangsung di Beijing pada Khamis.
Seminar bertemakan “Pengajian Melayu dalam Era Kecerdasan Buatan (AI)” itu berlangsung selama dua hari yang berakhir pada Jumaat, menghimpunkan para sarjana dari pelbagai negara bagi berbincang dan berkongsi idea dalam pelbagai bidang seperti penterjemahan, bahasa, kesusasteraan dan kemasyarakatan dunia Melayu.













Tinggalkan Balasan