Mesyuarat sampingan ‘Pavilion China’ dilancarkan di Belem, Brazil pada Isnin sempena Sesi ke-30 Persidangan Pihak-Pihak (COP30) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
Fasa pertama mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan tamadun ekologi serta praktik dalam menterjemahkan visi membina ‘China yang indah’.
Menteri Ekologi dan Alam Sekitar (MEE) Huang Runqiu ketika berucap pada majlis perasmian acara itu, berkata pembangunan tamadun ekologi selari dengan arus perkembangan peradaban manusia dan gagasan membina ‘rumah bersama’ yang indah adalah aspirasi bersama manusia sejagat.
Huang turut menekankan komitmen teguh China untuk menangani perubahan iklim dan memperkasa kerjasama antarabangsa dalam usaha berkenaan, tanpa mengira apa jua perubahan berlaku dalam situasi dunia.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif UNFCCC Simon Stiell berkata konsep simbiosis antara manusia dan alam yang dijunjung China boleh dilihat dengan jelas menerusi matlamat puncak karbon dan neutral karbon, serta kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Menurut beliau, tindakan iklim kini bukan agenda alam sekitar semata-mata, tetapi berkait rapat dengan ekonomi, masyarakat dan tadbir urus setempat.
Siri mesyuarat sampingan ‘Pavilion China’ dijadual berlangsung sehingga 20 November dengan memfokuskan pembangunan pasaran karbon, usaha merealisasikan matlamat puncak karbon dan neutral karbon, transformasi tenaga dan lain-lain.














Tinggalkan Balasan