Mojtaba Khamenei Dilantik Pemimpin Agung Baharu Iran

ISTANBUL, 9 Mac — Majlis Pakar Iran telah melantik Mojtaba Khamenei sebagai Pemimpin Agung baharu negara itu, bagi menggantikan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan Press TV Iran.

Pelantikan Mojtaba, seorang ulama berpangkat sederhana yang mempunyai hubungan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), dibuat selepas Ali Khamenei terbunuh dalam serangan udara AS-Israel pada 28 Feb lepas.

Ulama berusia 56 tahun itu dipilih oleh Majlis Pakar Iran, sebuah badan dianggotai 88 ahli yang bertanggungjawab di bawah Perlembagaan untuk melantik pihak berkuasa politik dan agama tertinggi di negara itu.

Pemilihan beliau mengikut prosedur perlembagaan yang ditetapkan dan bukannya melalui peralihan kuasa warisan, walaupun garis keturunan keluarga dan kerapatannya dengan Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei telah lama meletakkannya sebagai tumpuan mengenai penggantian kepimpinan.

Dengan pelantikan itu, Mojtaba menjadi pemimpin agung ketiga Republik Islam berkenaan sejak revolusi 1979, mewarisi kepimpinan ketika fasa konflik serantau yang sengit dan ketidaktentuan di peringkat domestik.

Mojtaba dilahirkan pada 8 Sept 1969 di Bandar Mashhad,  satu daripada pusat keagamaan utama di timur laut Iran.

Beliau merupakan anak kedua kepada Ali Khamenei, yang memerintah Iran sebagai pemimpin agung dari 1989 sehingga terbunuh dalam serangan udara AS-Israel lebih seminggu lepas. Beliau juga merupakan cucu kepada ulama Sayyed Javad Khamenei.

Membesar dalam persekitaran politik yang aktif, Mojtaba menyaksikan kebangkitan bapanya sebagai tokoh utama dalam Revolusi Islam dan kemudiannya sebagai Presiden Iran sebelum memegang jawatan pemimpin agung.

Beliau berkahwin dengan Zahra Haddad-Adel, anak perempuan kepada Gholam-Ali Haddad-Adel, seorang ahli politik konservatif terkemuka dan bekas speaker parlimen yang kini mengetuai  satu daripada institusi kebudayaan utama Iran.

Zahra turut terkorban dalam serangan AS-Israel yang menyasarkan kediaman keluarga Khamenei di ibu negara Tehran.

Mojtaba terselamat dalam serangan itu, namun turut kehilangan ibu, saudara perempuan, abang ipar, dan anak saudaranya.

Seperti kebanyakan tokoh dalam pertubuhan ulama Iran, Mojtaba melanjutkan pengajian agamanya di Bandar Qom, pusat pembelajaran teologi Syiah terkemuka di negara itu dan menempatkan akademi yang melatih golongan ulama Iran.

Beliau mempelajari perundangan dan teologi Islam di bawah beberapa sarjana konservatif terkemuka, termasuk Ayatollah Mahmoud Hashemi Shahroudi, Ayatollah Lotfollah Safi Golpaygani, dan Mohammad-Taqi Mesbah-Yazdi, seorang pendukung ideologi berpengaruh yang membimbing ramai tokoh politik konservatif di Republik Islam itu.

Menurut penganalisis Iran, Mojtaba menghabiskan sebahagian besar kerjayanya mengajar di akademi di Qom itu, termasuk kelas perundangan peringkat tinggi yang dikenali sebagai “dars-e kharej”, yang dianggap sebagai tahap tertinggi pendidikan di situ.

Walaupun telah berpuluh tahun berada dalam pertubuhan ulama, Mojtaba tidak pernah memegang jawatan rasmi kerajaan atau berkhidmat dalam jawatan terpilih mahupun eksekutif.

Media antarabangsa sering menggambarkan beliau sebagai tokoh yang tidak menonjolkan diri namun berkemungkinan mempunyai pengaruh di sebalik tabir.

Penglihatan awamnya yang terhad mengukuhkan imej ini, memandangkan tiada ucapan awam yang meluas, temu bual, atau manifesto politik yang membentangkan kedudukannya.

Nama Mojtaba telah muncul secara berkala dalam perbincangan politik di Iran, biasanya berkaitan dengan pilihan raya presiden atau spekulasi mengenai calon yang mungkin disokongnya.

Namun, Mojtaba sendiri jarang terlibat dalam perdebatan politik awam. Penampilannya kebanyakannya terhad kepada majlis rasmi, acara peringatan kebangsaan, dan perhimpunan keagamaan yang diliputi oleh media rasmi Iran.

Kali terakhir beliau dilihat di khalayak ramai adalah semasa perhimpunan menyokong kerajaan berikutan protes meluas awal tahun ini.

Menurut laporan Iran, Mojtaba juga mengambil bahagian dalam Perang Iran-Iraq pada akhir 1980-an ketika bapanya berkhidmat sebagai presiden.

Beliau dilaporkan menyertai unit sukarelawan semasa muda, menandakan pengalaman pertamanya dalam hal ehwal ketenteraan.

Beberapa saluran media Barat turut mengaitkan beliau dengan Kor Pengawal Revolusi Iran( IRGC),  satu daripada institusi paling berkuasa di Iran, walaupun beliau tidak memegang sebarang peranan rasmi di sana.

Mojtaba menggalas tanggungjawab kepimpinan negara pada satu detik paling tidak menentu dalam sejarah moden Iran.

Peralihan itu juga berlaku di bawah ancaman langsung daripada Israel, yang pemimpinnya telah berikrar untuk membunuh mana-mana pemimpin Iran yang dipilih untuk menggantikan Khamenei.