PARIS, 25 Okt — Lima hari selepas kejadian rompakan berprofil tinggi di Muzium Louvre Paris, sebahagian daripada koleksi barang kemas berharga muzium itu dipindahkan ke Banque de France atas faktor keselamatan, lapor agensi berita Jerman dpa memetik laporan media tempatan pada Jumaat.
Menurut stesen radio RTL, barangan berkenaan dibawa dengan kawalan polis ke bilik kebal bank pusat Perancis berdekatan, dan maklumat itu turut disahkan oleh stesen televisyen BFMTV.
Louvre telah dikosongkan dan ditutup pada pagi Ahad selepas empat pencuri bertopeng memecah masuk ke Galeri Apollo.
Mereka bertindak memecahkan dua bekas pameran dan melarikan lapan barangan kemas yang pernah dimiliki permaisuri dan maharani Perancis dengan nilai dianggarkan €88 juta ( US$102 juta).
Kejadian itu mencetuskan perdebatan tentang tahap keselamatan di muzium berkenaan.
Setakat ini, belum dapat dipastikan barangan mana yang dipindahkan.
Mahkota permata di Galeri Apollo serta barangan kemas lain dilaporkan telah dipindahkan.
Tiada petunjuk ditemukan mengenai suspek mahupun permata yang dicuri.
Menurut laporan RTL, barang kemas terbabit kini disimpan dalam bilik kebal berkeselamatan tinggi sedalam 26 meter di bawah tanah, lokasi yang turut menempatkan kira-kira 90 peratus simpanan emas Perancis.
Pemindahan seumpama ini dianggap luar biasa.
Buku nota Leonardo da Vinci yang dianggarkan bernilai lebih €600 juta turut disimpan di bilik kebal sama sejak beberapa tahun lalu.













Tinggalkan Balasan