Myanmar Gesa AS Hapus Sekatan, Kurangkan Tarif

PHNOM PENH, 11 Julai — Myanmar menyeru Amerika Syarikat (AS) supaya menarik balik sekatan dan mengurangkan tarif yang dikenakan baru-baru ini, dengan memetik status negara itu yang masih diklasifikasikan sebagai Negara Paling Kurang Membangun serta kesukaran ekonomi yang teruk sedang dihadapinya.

Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berkata negara itu telah berdepan pelbagai cabaran sejak 2020, daripada pandemik kesihatan hingga bencana alam yang menyebabkan penderitaan besar kepada rakyat, lapor media rasmi The Global New Light of Myanmar hari ini.

Menurut kenyataan itu, beliau mencadangkan pengurangan kadar tarif AS ke atas eksport Myanmar kepada julat antara 10 hingga 20 peratus, dengan Myanmar pula mengenakan tarif balik antara sifar hingga 10 peratus ke atas eksport AS ke Myanmar.

Cadangan itu dibuat selepas pentadbiran Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif sebanyak 40 peratus ke atas Myanmar minggu ini, yang dilaporkan sebagai kadar tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.

Negara jiran, Laos, yang juga sebuah negara paling kurang membangun, turut dikenakan tarif perdagangan AS sebanyak 40 peratus.

Eksport utama Myanmar ke AS, termasuk pakaian, makanan laut dan barangan kulit – sektor penting yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 55 juta penduduk negara itu.

Myanmar telah bergelut dengan cabaran ekonomi yang teruk sejak lima tahun lalu, bermula dengan pandemik COVID-19 dan diburukkan lagi oleh rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan awam yang dipilih secara demokratik.

AS melaksanakan sekatan baharu terhadap Myanmar susulan rampasan kuasa berkenaan, yang menggantikan kerajaan awam dipilih rakyat, sekali gus terus mengasingkan negara Asia Tenggara itu.

Selain itu, bencana alam seperti Taufan Mocha pada Mei 2023, Taufan Yagi pada September tahun lalu dan gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud di Mandalay pada Mac lepas telah menjejaskan pemulihan ekonomi negara itu.

Struktur tarif baharu yang diumumkan oleh AS dijangka akan terus membebankan masalah dalaman Myanmar ketika negara itu membuat persiapan untuk pilihan raya umum akhir tahun ini.

Min Aung Hlaing berkata kerajaan pimpinannya bersedia menghantar pasukan rundingan peringkat tinggi ke Washington bagi membincangkan isu tarif berkenaan.

“Beliau (Min Aung Hlaing) dengan penuh hormat meminta Presiden (Trump) mempertimbangkan semula untuk mengurangkan dan menarik balik sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Myanmar kerana ia menjejaskan kepentingan bersama dan kemakmuran kedua-dua negara serta rakyatnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut Bank Dunia, kira-kira tiga juta orang telah kehilangan tempat tinggal sejak rampasan kuasa berkenaan.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda