OCBC Lihat Potensi Johor Sebagai Hab Dagangan Strategik Hubungkan ASEAN-China — MB

JOHOR BAHRU, 26 Jun — OCBC Group melihat potensi Johor sebagai sebuah hab pelaburan dan perdagangan strategik yang menghubungkan ASEAN dan China, sekali gus bersedia memperluas peranannya dalam menyokong pertumbuhan pelbagai sektor utama di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perkara itu disuarakan dalam pertemuan beliau dengan pihak pengurusan tertinggi institusi kewangan global itu baru-baru ini yang turut membincangkan potensi kerjasama lebih luas dalam konteks pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Menerusi kekuatan rangkaian mereka di kedua-dua rantau (ASEAN dan China), OCBC bersedia menyokong pertumbuhan sektor-sektor utama seperti logistik, pembuatan, infrastruktur, fintech dan ekonomi digital,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Onn Hafiz berkata kepakaran OCBC dalam pembiayaan rentas sempadan, pengurusan kekayaan serta transformasi digital menjadikan institusi itu sebagai rakan strategik amat bernilai dalam membawa masuk pelaburan berkualiti tinggi ke Johor.

Kerjasama itu, katanya, mampu melonjakkan lagi daya saing Johor di peringkat serantau serta menyumbang kepada pembentukan ekosistem ekonomi yang mampan dan inklusif, selaras dengan agenda pembangunan negeri yang berpaksikan inovasi, bakat dan pelaburan bernilai tinggi.

Beliau juga menyifatkan komitmen OCBC yang merancang menambah bilangan pekerja di Johor, khususnya siswazah tempatan dengan gaji permulaan antara RM3,200 hingga RM3,600, sebagai selari dengan aspirasi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).

“Kesungguhan OCBC untuk menawarkan pekerjaan bernilai tinggi, sekali gus akan memastikan pembangunan JS-SEZ turut disokong bakat tempatan yang cekap,” katanya.

JTDC merupakan inisiatif strategik bagi membangunkan bakat tenaga kerja tempatan di Johor dengan penyelarasan kumpulan tenaga kerja mengikut keperluan industri selain memastikan kumpulan tenaga kerja tempatan berkemahiran, berdaya saing dan responsif terhadap permintaan pasaran.

OCBC Group sebelum ini memaklumkan pelaburan lebih RM11 bilion dalam pelbagai perniagaan di Johor sejak awal 2024 yang menjadi sebahagian komitmen kumpulan itu untuk menyokong pembangunan JS-SEZ.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda