OPEC+ Tingkat Pengeluaran Minyak Pada Mei Di Tengah Krisis Tenaga Global

VIENNA, 6 April — Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, yang dikenali sebagai OPEC+ pada Ahad memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 206,000 tong sehari pada Mei, menurut kenyataan pertubuhan itu pada Ahad, lapor Xinhua.

Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat secara maya yang disertai Arab Saudi, Rusia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman, meneliti keadaan serta prospek pasaran global.

Di tengah-tengah konflik ketenteraan yang berterusan di Asia Barat, lapan negara OPEC+ itu menegaskan kepentingan kritikal untuk melindungi laluan maritim antarabangsa bagi memastikan aliran bekalan tenaga berjalan lancar.

Mereka juga menyuarakan kebimbangan terhadap serangan ke atas infrastruktur tenaga yang menjejaskan keseluruhan ketersediaan bekalan. 

OPEC+ menegaskan bahawa usaha memulihkan aset tenaga yang rosak kepada kapasiti penuh bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi, malah mengambil masa lama.

Mereka dijadual mengadakan mesyuarat semula pada 3 Mei bagi membuat keputusan selanjutnya.

Sejak serangan AS-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb, konflik di Asia Barat telah menjejaskan aliran tenaga serantau, dengan penghantaran minyak mentah dan produk ditapis merosot dengan ketara.