Palang Merah China Serah Bantuan Kemanusiaan kepada Iran

Upacara penyerahan bantuan kemanusiaan kecemasan yang disalurkan Persatuan Palang Merah China (RCSC) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Iran diadakan di kedutaan besar China di sini, pada Ahad.

Bantuan wang berjumlah USD200,000 itu akan diberikan kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam serangan di Sekolah Rendah Shajareh Tayyebeh. 

Duta besar China ke Iran, Cong Peiwu ketika berucap pada majlis penyerahan itu berkata, China mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyerang orang awam dan sasaran bukan ketenteraan. 

Beliau menyifatkan tindakan menyerang sekolah dan membunuh kanak-kanak sebagai melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta membelakangi hati nurani dan moral kemanusiaan. 

Cong menegaskan, China akan terus memberikan sokongan kepada rakyat Iran untuk mengharungi kesukaran. Sebagai sahabat sejati dan rakan strategik, China bersedia bersama-sama negara-negara Timur Tengah untuk membina semula order di rantau itu serta memulihkan keamanan dunia.

Naib Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Iran yang bertanggungjawab atas hal ehwal antarabangsa, Ali Asghar Alishvandi menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas bantuan China. 

Beliau berkata, penyaluran bantuan China ketika Iran menghadapi kesukaran ketika ini bukan sahaja memaparkan imej China sebagai negara besar yang bertanggungjawab, bahkan mencerminkan hubungan persahabatan yang kukuh dalam kalangan rakyat kedua-dua negara.