Pelepasan Air Sisa Nuklear Fukushima Ke Laut Dihentikan Selepas Gempa Bumi Landa Jepun

TOKYO, 9 Dis — Pelepasan air sisa tercemar nuklear dari loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi yang rosak ke laut telah dihentikan susulan gempa bumi bermagnitud 7.6 yang melanda timur laut Jepun pada Isnin, lapor Xinhua.

Tiada keabnormalan dilaporkan di loji tenaga nuklear di Hokkaido atau di wilayah timur laut Aomori, Miyagi dan Fukushima, menurut penyiar awam NHK.

Tokyo Electric Power Company (TEPCO) berkata pelepasan air sisa dari loji itu dihentikan pada 11.42 malam waktu tempatan selepas amaran tsunami dikeluarkan.

Di Aomori dan Hokkaido, beberapa kecederaan dilaporkan. Kerajaan wilayah Aomori berkata kira-kira 2,700 rumah terputus bekalan elektrik, lapor Kyodo News.

Gegaran itu berlaku pada 11.15 malam waktu tempatan pada kedalaman 50 kilometer, dan mencatatkan intensiti enam pada skala seismik Jepun tujuh mata di bandar Hachinohe, wilayah Aomori, sekali gus mencetuskan amaran tsunami bagi kawasan pantai Aomori, Iwate dan Hokkaido, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Ombak setinggi 50 sentimeter direkodkan di bandar Urakawa, Hokkaido, pada 12.21 pagi waktu tempatan Selasa dan di Pelabuhan Kuji, wilayah Iwate, pada 12.10 pagi, menurut JMA.

Menurut operator kereta api Jepun, perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen di timur laut Jepun telah digantung di kedua-dua arah antara Stesen Fukushima dan Stesen Shin-Aomori akibat gempa tersebut.

Ketua Setiausaha Kabinet Minoru Kihara berkata kerajaan sedang mengumpulkan maklumat mengenai mangsa dan kerosakan harta benda.

Kerajaan turut menubuhkan pejabat pengurusan krisis di Pejabat Perdana Menteri sebagai respons terhadap gempa bumi itu.