Pemimpin Pakistan, Iran Adakan Perbualan Telefon Ketika Ketegangan Serantau Meningkat

NEW DELHI, 30 Jan — Pemimpin Pakistan dan Iran pada Khamis membincangkan ketegangan serantau yang semakin meningkat susulan peningkatan kehadiran ketenteraan Amerika Syarikat (AS) berhampiran Iran.

“Kami bertukar pandangan mengenai perkembangan situasi serantau dan bersetuju bahawa dialog berterusan serta penglibatan diplomatik adalah penting bagi keamanan, keselamatan dan pembangunan di rantau ini,” kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dalam satu hantaran di X selepas mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar turut mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dan menegaskan bahawa dialog serta diplomasi kekal sebagai satu-satunya jalan ke hadapan yang berdaya maju.

Peningkatan kehadiran ketenteraan AS di perairan berhampiran Iran, yang merangkumi aset laut dan udara seperti kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear USS Abraham Lincoln, telah mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan perang AS-Iran di Timur Tengah, walaupun usaha terus dilakukan oleh negara jiran Iran untuk meredakan keadaan.

Kapal pemusnah peluru berpandu USS Delbert D Black pada Khamis menyertai armada Amerika di rantau itu.

Araghchi dijadual berada di Turkiye pada Jumaat untuk mengadakan perbincangan yang bertujuan mengelakkan konfrontasi dengan AS.

“Beberapa negara kini sedang berusaha untuk menghalang tercetusnya perang berskala penuh di rantau kami. Tiada satu pun daripadanya adalah negara Eropah,” kata menteri luar Iran itu dalam satu hantaran di X pada Khamis.

“Sebaliknya, Eropah sibuk menyemarakkan ketegangan. Selepas meneruskan tindakan “snapback” atas kehendak AS, ia kini melakukan satu lagi kesilapan strategik besar dengan melabelkan Angkatan Tentera kami sebagai kononnya sebuah “pertubuhan pengganas”,” katanya.

Araghchi memberi amaran bahawa perang berskala penuh di Asia Barat akan membawa “kesan berantai”, termasuk kos tenaga yang tinggi kepada negara-negara Eropah.