GAZA, 12 April — Pemindahan perubatan dari Semenanjung Gaza disambung semula pada Ahad melalui lintasan sempadan Rafah dengan Mesir selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggantung operasi beberapa hari sebelum ini susulan kematian seorang kakitangan WHO waga Palestin akibat tembakan Israel, lapor Xinhua.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan pasukannya memindahkan pesakit dan mangsa cedera melalui lintasan itu dengan penyelarasan WHO dan pihak berkuasa berkaitan.
Menurut persatuan itu, seramai 27 pesakit dan 42 pengiring telah dipindahkan. Mereka dibawa menggunakan ambulans dari Hospital Pemulihan Perubatan di Khan Younis di selatan Gaza ke Rafah sebelum meneruskan perjalanan ke luar negara bagi mendapatkan rawatan.
Kumpulan itu menyifatkan operasi berkenaan sebagai usaha kemanusiaan yang bertujuan mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan Gaza yang terbeban.
WHO menggantung proses pemindahan pada 6 April selepas seorang kakitangan warga Palestinnya terkorban. Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pada masa itu bahawa pemindahan rakyat Palestin yang sakit dan cedera dari Gaza ke Mesir melalui Rafah dihentikan sehingga diberitahu kelak.
“Kami menyeru supaya orang awam dan petugas kemanusiaan dilindungi,” tambahnya.
Sejak lintasan itu dibuka semula pada 2 Feb, WHO telah menyelaraskan senarai pesakit yang layak untuk dipindahkan serta jumlah mereka dengan pihak berkuasa Israel.













Tinggalkan Balasan