Peng Liyuan, Ratu Sepanyol Kunjungi Pusat Perkhidmatan OKU di Beijing

Isteri Presiden China Xi Jinping, Peng Liyuan membawa Ratu Letizia yang menemani Raja Sepanyol, Raja Felipe VI dalam lawatan rasmi ke China, mengunjungi Pusat Demonstrasi Perkhidmatan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Beijing pada Rabu.

Di pusat itu, Peng dan Ratu Letizia dimaklumkan mengenai skim perkhidmatan ditawarkan kepada golongan OKU sebelum melawat pameran bertema Sukan Paralimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

Kedua-dua tokoh itu turut diperkenalkan kepada pengaplikasian pelbagai produk bantuan OKU, program membaca untuk kanak-kanak kelainan upaya serta pelbagai kemudahan mesra OKU.

Peng dan Ratu Letizia turut meluangkan masa beramah mesra dengan mereka yang mengikuti program masakan pastri, kraf tangan dan seni lukis, selain menziarahi kanak-kanak OKU yang sedang menjalani latihan pemulihan. 

Peng berkata usaha pemerkasaan OKU memerlukan sokongan daripada semua pihak agar golongan berkenaan dapat terlibat dalam aktiviti sosial dengan lebih baik.

China dan Sepanyol boleh terus meningkatkan pertukaran dan kerjasama dalam bidang berkenaan untuk membantu golongan OKU merealisasikan impian masing-masing, tambah beliau.