Pengalaman pembangunan China patut dipelajari dan diteladani oleh Nauru bahkan seluruh dunia, kata Presiden Nauru, David Adeang.
“Sebagai presiden, tugas saya adalah untuk belajar daripada China, bukan sahaja untuk mendapatkan sokongan daripada China dalam pembangunan negara, malah juga mempelajari nilai-nilai yang dijunjung rakyat China.
“Walaupun negara kita kecil, tetapi pengalaman kejayaan China pastinya dapat memberi ilham dan inspirasi kepada Nauru,” kata Adeang ketika ditemu bual Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.
Pada 6 Julai lalu, Presiden Adeang membawa keluarganya menjejak kaki ke provinsi Guangdong untuk mencari asal usul keluarganya di wilayah selatan China.
Untuk rekod, selepas Perang Candu (tahun 1840-1842), ramai petani yang muflis dan tukang kraf tangan yang menganggur terpaksa mengembara ke luar negara untuk mencari rezeki.
Sebahagian daripada mereka pergi ke Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, Nauru dan negara-negara kepulauan Pasifik yang lain, termasuk datuk moyang Adeang, Situ Nuanbao.
Adeang menganggap bahawa adalah sangat penting untuk mengetahui masa lalu dan di mana kita berada, supaya boleh melihat jalan ke hadapan.
Beliau pernah berulang kali meluahkan hasratnya untuk sekali lagi melawat ke China dan menanti-nantikan dapat membawa keluarganya ke negara Tembok Besar.
Ketika menyebut majlis pecah tanah Pusat Sukan Nauru yang dibina atas bantuan kerajaan China, Adeang berkata bahawa projek itu akan mengubah wajah sektor kesukanan di Nauru secara menyeluruh.
Selain projek untuk membina pelabuhan baharu, China juga membantu Nauru dalam membangunkan projek penjanaan kuasa fotovoltaik yang akan membantu negara itu merealisasikan matlamat 50 peratus tenaga boleh diperbaharui.
Adeang turut mengulangi pendirian yang komited mematuhi prinsip satu China yang merupakan asas bagi jalinan hubungan Nauru dengan China.
Beliau percaya kedua-dua negara akan bersinergi menyuntik lebih banyak penggerak untuk membuka lembaran baharu pembangunan dan kemakmuran bersama.
Tinggalkan Balasan