Penggubal Undang-Undang AS Kecam Trump Atas Serangan Unilateral Ke Atas Iran Tanpa Kelulusan Kongres

WASHINGTON, 22 Jun — Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) mengecam tindakan unilateral Presiden Donald Trump pada Sabtu yang melancarkan serangan ke atas Iran tanpa mendapatkan kelulusan Kongres, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Ketua Minoriti Dewan Perwakilan AS Hakeem Jeffries berkata Trump “gagal mendapatkan kelulusan Kongres untuk penggunaan kekuatan tentera dan menjejaskan AS dengan risiko terjerumus dalam perang yang berpotensi membawa bencana di Timur Tengah.”

Kenyataan beliau dibuat selepas Trump mengumumkan bahawa tentera AS telah melancarkan serangan udara yang “amat berjaya” ke atas tiga lokasi nuklear Iran – Fordow, Natanz dan Isfahan – di tengah-tengah kebimbangan mengenai kemungkinan tercetus konflik yang lebih meluas di rantau itu.

Jeffries berkata Trump pernah berjanji untuk membawa keamanan ke Asia Barat, tetapi beliau “gagal menunaikan janji itu.”

“Kongres mesti diberikan taklimat penuh dan segera dalam sesi tertutup,” katanya, sambil menambah bahawa Trump memikul “tanggungjawab sepenuhnya” terhadap sebarang kesan buruk yang berpunca daripada “tindakan ketenteraan unilateralnya.”

Senator Ed Markey menyifatkan serangan itu sebagai “tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.”

“Serangan ini tidak mendapat kelulusan Kongres dan mendatangkan bahaya kepada semua rakyat AS. Rakyat Amerika tidak mahu satu lagi perang tanpa kesudahan di Timur Tengah,” katanya, sambil menambah bahawa penyelesaian diplomatik kekal sebagai “cara terbaik” untuk menghalang Iran memperoleh senjata nuklear.

Wakil Pramila Jayapal berkata kuasa untuk mengisytiharkan perang “hanya” terletak pada Kongres.

“Tindakan Trump yang melanggar undang-undang itu meningkatkan risiko berlakunya peningkatan kepada perang serantau yang lebih besar dengan risiko serius terhadap anggota tentera dan orang awam AS – yang sememangnya menentang – penglibatan dalam satu lagi peperangan tanpa penghujung.

Kongres mesti segera melaksanakan tanggungjawab kami untuk menyekat Presiden ini,” katanya di X.

Ahli Kongres Alexandria Ocasio-Cortez berkata keputusan “berbahaya” Trump untuk mengebom Iran tanpa kelulusan adalah “pelanggaran serius” terhadap Perlembagaan dan Kuasa Perang Kongres.

“Beliau secara semberono berisiko mencetuskan perang yang mungkin memerangkap kita selama beberapa generasi. Ini jelas dan nyata adalah alasan kukuh untuk pendakwaan pemecatan,” katanya di X.

Ahli Kongres Rashida Tlaib berkata tindakan Trump menghantar tentera AS untuk mengebom Iran tanpa persetujuan Kongres adalah “pelanggaran terang-terangan” terhadap Perlembagaan.

“Beliau yang sepatutnya mendengar suara rakyat Amerika, mendengar (Presiden Israel Benjamin) Netanyahu yang berbohong tentang Iraq dan kini berbohong sekali lagi tentang Iran,” kata Tlaib di X, sambil menggesa Kongres bertindak “segera” untuk menghentikan “tindakan perang yang tidak mengikut Perlembagaan ini.”

Beberapa wakil  Republikan menyokong Trump selepas serangan itu, dengan hanya segelintir yang bersuara berbeza.

“Ini tidak mengikut Perlembagaan,” kata Wakil Republikan Thomas Massie di X.

Massie baru-baru ini memperkenalkan resolusi dwipartisan untuk menghalang penggunaan Angkatan Tentera AS dalam sebarang persengketaan, tanpa kelulusan terhadap Iran.

Wakil Republikan Warren Davidson pula berkata: “Walaupun keputusan Presiden Trump mungkin terbukti wajar, sukar untuk membayangkan alasan yang mengikut Perlembagaan. Saya menanti ucapan beliau malam ini.”

Dalam ucapan yang disiarkan di seluruh negara, Trump pada Sabtu memberi amaran kepada Iran agar tidak membalas serangan AS, sambil berkata negara itu akan berdepan “tragedi yang tidak pernah terjadi sebelum ini” jika melancarkan serangan balas.

“Iran, kini mesti memilih untuk berdamai. Jika tidak, serangan pada masa depan akan lebih hebat dan jauh lebih mudah,” katanya.

Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth dan Pengerusi Ketua Turus Bersama Jeneral Dan Caine dijangka memberi kenyataan awal Ahad.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda