WASHINGTON, 31 Ogos — Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membatalkan pembiayaan persekutuan berjumlah US$679 juta bagi sedozen projek angin darat di negara itu, lapor Xinhua.
Jabatan Pengangkutan AS pada Jumaat menarik balik dana projek di 11 negeri, termasuk US$435 juta untuk ladang angin terapung di California, US$47 juta bagi mengukuhkan projek tenaga angin darat di Maryland, dan US$48 juta untuk projek terminal angin darat di Staten Island, New York.
“Projek angin yang membazir ini menggunakan sumber yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk memperkasa semula industri maritim Amerika,” kata Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy dalam satu kenyataan.
Menurut jabatan itu, dana yang dibatalkan akan disalurkan semula untuk menaik taraf pelabuhan dan infrastruktur lain di negara itu, jika sesuai.
Tindakan ini adalah langkah terbaharu pentadbiran Trump menentang sumber tenaga boleh diperbaharui, menurut laporan media AS.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Tenaga AS pada Jumaat turut memutuskan untuk menarik balik jaminan pinjaman berjumlah US$716 juta yang diluluskan pentadbiran Biden bagi menaik taraf dan memperluas infrastruktur penghantaran tenaga untuk menyokong projek yang sama di New Jersey.
Minggu lalu, pentadbiran Trump menghentikan pembinaan sebuah projek angin darat berhampiran Rhode Island yang hampir siap.














Tinggalkan Balasan