ISTANBUL, 23 Mac — Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Ahad mengeluarkan amaran keselamatan di seluruh dunia, menggesa rakyatnya, khususnya di Asia Barat, supaya meningkatkan tahap kewaspadaan, lapor Anadolu Ajansi.
Agensi itu memberi amaran bahawa kumpulan yang menyokong Iran mungkin menyasarkan kepentingan AS serta lokasi yang berkaitan dengan rakyat Amerika di seluruh dunia.
Amaran itu menyatakan kemudahan diplomatik AS di luar Asia Barat telah pun menjadi sasaran dan turut memberi peringatan mengenai penutupan ruang udara secara berkala yang boleh menyebabkan gangguan perjalanan.
Rakyat Amerika di luar negara dinasihatkan supaya mematuhi panduan daripada kedutaan atau konsulat AS yang terdekat.
Amaran itu dikeluarkan ketika serangan AS-Israel terhadap Iran memasuki minggu keempat, dengan Tehran bertindak balas melalui serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
Serangan itu bermula pada 28 Feb dan dilaporkan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.













Tinggalkan Balasan