Perkhidmatan Menyeluruh Dan Bersepadu Kidana Tingkatkan Pengalaman Jemaah Haji

MAKKAH, 10 Jun — Sebagai cabang pelaksana Suruhanjaya Diraja untuk Makkah dan Tapak Suci, Syarikat Pembangunan Kidana (Kidana) melaksanakan perkhidmatan bersepadu yang saling berkaitan untuk menjadikan perjalanan di Tanah Suci satu pengalaman yang selamat dan selesa, membolehkan jemaah haji menunaikan ibadah dengan mudah melalui sistem perkhidmatan menyeluruh yang mampan dan fleksibel.

Dengan mengutamakan projek pembangunan, inisiatif pengurangan tekanan haba Kidana di laluan pejalan kaki di Arafah dan Mina, serta sistem penyejukan di sekitar Jabal Al-Rahmah dan Masjid Namirah, berjaya mengurangkan sebanyak 90 peratus kes tekanan haba musim Haji kali ini, menurut Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan, sepanjang musim Haji 1446H, Kidana melaksanakan lebih 22 projek untuk meningkatkan persekitaran di Tanah Suci, dengan penekanan kepada penambahbaikan infrastruktur, kelancaran aliran jemaah dan mencipta pengalaman haji yang lebih tersusun.

Kidana mengagihkan lebih 4,500 penyejuk air dan pancuran minuman di seluruh kawasan Tanah Suci, sekali gus meningkatkan keselesaan sepanjang perjalanan haji. Tempat rehat yang ditempatkan secara strategik di sepanjang laluan pejalan kaki turut disediakan untuk memberi ruang jemaah berehat dan memulihkan tenaga.

Selain itu, Kidana menghasilkan dan mengedarkan sejuta risalah kesedaran dalam sembilan bahasa untuk membimbing jemaah semasa melontar jamrah, serta memasang 6,300 papan tanda maklumat bagi mendidik pengunjung tentang Tanah Suci.

Musim Haji kali ini juga menyaksikan kesiapsiagaan kesihatan dan kecemasan dipertingkat melalui projek Hospital Kecemasan Mina, yang dilengkapi dengan jambatan dan eskalator elektrik yang menghubungkan ke laluan utama bagi respons kecemasan pantas.

Sistem ini turut merangkumi 71 titik penghantaran ambulans untuk tindakan pantas dan 14 unit rawatan kecemasan yang ditempatkan secara strategik bagi menyediakan rawatan kritikal semasa waktu puncak.

SPA turut melaporkan yang Kidana menaik taraf sistem penginapan di Mina dengan memperkenalkan khemah dua tingkat untuk menambah kapasiti.

Syarikat itu juga memasang eskalator elektrik baharu untuk memudahkan pergerakan jemaah warga emas dan membangunkan lebih 100 unit komersial di seluruh kawasan Tanah Suci bagi meningkatkan pengalaman keseluruhan jemaah.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda