China dan Malaysia telah melaksanakan kolaborasi dalam bidang media arus perdana sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan menumpu pada perhatian bersama rakyat kedua-dua pihak, misalnya berjaya melancarkan program “Cerita Antara Kita”, “Edisi Asia” dan “Agenda Awani Asia”.
Demikian dinyatakan Presiden Kumpulan Media China (CMG) Shen Haixiong dalam aktiviti pertukaran sosiobudaya “Berganding Bahu untuk Kemakmuran Bersama” China-Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa.
Shen yang juga merupakan Naib Ketua Pengarah Jabatan Publisiti Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China menambah, CMG bersedia berganding bahu dengan rakan-rakan Malaysia, membuka lembaran baharu dalam pertukaran sosiobudaya, dan menyumbang kepada pembentukan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia di tahap yang baharu.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Chang Lih Kang menyifatkan CMG sebagai jambatan penting yang berperanan menggalakkan pertukaran persahabatan dan peningkatan persefahaman dalam kalangan rakyat, dan yakin kerjasama dalam pelbagai bidang boleh membantu memupuk silaturahim antara rakyat kedua-dua negara, mendorong perkembangan mantap hubungan bilateral, serta terus menyuburkan persahabatan tradisional.
Seterusnya sesi promosi “Jelajah ke China Berdasarkan Filem” Stesen Malaysia turut dirasmikan dalam aktiviti tersebut, dan kempen jelajah yang bermodelkan “filem+pelancongan” itu dilihat boleh memberi pendedahan lebih banyak kepada rakyat Malaysia untuk mengenali sejarah, budaya dan pemandangan di tanah China.
Di samping itu, pelbagai projek kolaborasi antara CMG dengan RTM, Bernama, dan Astro Awani untuk pusingan baharu juga ditandatangani.
Turut hadir, lebih 200 tetamu dari kalangan politik, ekonomi, kebudayaan dan media termasuk Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Teo Nie Ching, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy, dan Pengerusi Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan.
Tinggalkan Balasan