Pesawat Sewa Bawa Pulang Warga Korea Selatan Dari UAE Pada Ahad

SEOUL, 7 Mac — Sebuah pesawat sewa untuk membawa keluar warga Korea Selatan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan berlepas hujung minggu ini ketika ketegangan kian memuncak di Timur Tengah, kata Kementerian Luar pada Sabtu.

Menurut Agensi Berita Yonhap, kementerian itu memaklumkan pihaknya sedang mengatur penerbangan sewa Etihad Airways 290 tempat duduk, yang akan berlepas dari Abu Dhabi pada tengah hari Ahad (waktu tempatan).

Bermula awal Sabtu, Kedutaan Korea Selatan di UAE akan menerima permohonan daripada warga Korea Selatan yang ingin menaiki pesawat berkenaan, dengan keutamaan diberikan kepada pesakit kritikal, individu dengan kecacatan serius, wanita hamil, warga emas dan bayi.

Penerbangan yang dirancang itu dilakukan ketika Seoul berusaha untuk membawa pulang kira-kira 3,000 warganya yang terkandas di UAE akibat gangguan penerbangan ketika konflik kian memuncak antara Iran dan Amerika Syarikat.