Pesawat Sewaan Khas Operasi Evakuasi Selamat Mendarat Di Jeddah

JEDDAH, 10 Mac — Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines bagi Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, Arab Saudi pada 8.35 malam (1.35 pagi, Rabu waktu Malaysia).

Pesawat Airbus A330-300 akan mengisi bahan api, sebelum dijadualkan meneruskan penerbangan pulang ke Malaysia kira-kira dua jam kemudian.

Dengan jendela masa yang singkat susulan faktor teknikal, proses pengambilan penumpang di Lapangan Terbang Jeddah dijangka menjadi lebih mencabar.

Namun, Perwakilan Malaysia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah mengambil langkah proaktif dengan mengumpulkan kesemua penumpang di ruang menunggu lebih awal bagi melancarkan proses pengungsian.

Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat dilaksanakan atas arahan segera Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan situasi keselamatan di rantau berkenaan yang dilaporkan kian meruncing.

Sebelum ini, kerajaan telah menyatakan komitmen untuk melakukan segala yang termampu untuk memastikan rakyat Malaysia yang terlibat kembali ke tanah air dengan selamat.

Misi itu turut membawa pulang sekumpulan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di beberapa lokasi termasuk Arab Saudi, Syria, Jordan dan Qatar. Mereka terdiri daripada pelajar, pengembara serta jemaah umrah.

Operasi bersepadu ini diterajui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri serta pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di rantau Asia Barat.

Terdahulu penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines telah berlepas pada 4.10 petang, Selasa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

​Penerbangan itu yang turut disertai wartawan dan jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM), dijadualkan tiba di KLIA pada Rabu (11 Mac), 11 pagi.