PM China Adakan Dialog “1+10” dengan Penanggungjawab Pertubuhan Ekonomi Antarabangsa

Perdana Menteri China, Li Qiang telah mengadakan dialog “1+10” dengan 10 orang penanggungjawab pertubuhan ekonomi antarabangsa utama di sini pada Selasa.

Li Qiang menegaskan, dialog yang bertemakan “Bersama Bincang Tadbir Urus Global dan Gariskan Hala Tuju Bersama untuk Pembangunan Global” ini bertujuan untuk membina konsensus, menjana impak sosial, dan mendorong pelbagai pihak bertindak pantas membentuk sistem tadbir urus global yang lebih adil dan munasabah demi pembangunan bersama. 

“Kita seharusnya meningkatkan tahap keterbukaan pasaran antara satu sama lain, mengelak masalah ekonomi dan perdagangan daripada dipolitikkan atau dikaitkan dengan isu keamanan wilayah dengan sewenang-wenangnya, mengeratkan kerjasama antarabangsa dalam bidang inovasi, serta bersama-sama memupuk dan memperhebat momentum baharu untuk memacu pembangunan.

“China konsisten dalam mengamalkan dasar yang terbuka dan mendorong kerjasama antarabangsa,” kata Li. 

“Trend pertumbuhan ekonomi China kekal stabil dan proaktif, sedangkan jumlah kumulatif ekonomi akan melonjak ke satu tahap yang baharu. Penaiktarafan industri akan mencipta ruang pembangunan yang lebih luas, dan permintaan pasaran di negara gergasi ini akan menjadi semakin menonjol. 

“China bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk merancakkan landskap ekonomi dan perdagangan antarabangsa yang saling menguntungkan dan menang-menang, serta memajukan globalisasi ekonomi secara mendalam,” ujar Li.

“Sementara itu, China akan terus aktif memikul tanggungjawab antarabangsa yang bersesuaian dengan kemampuan sendiri, melibatkan diri secara konstruktif dalam pertukaran dan kerjasama antarabangsa, menyediakan lebih banyak pakej penyelesaian demi kepentingan umum, serta menyumbang lebih banyak untuk memajukan pertumbuhan ekonomi dunia ke arah yang sihat dan stabil,” tambah PM China ini.

Dimaklumkan, antara ketua-ketua pertubuhan ekonomi antarabangsa utama yang menghadiri dialog tersebut termasuk Gabenor Bank Pembangunan Baharu, Dilma Rousseff, Gabenor Bank Dunia (WB), Ajay Banga, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala, Setiausaha Agung Majlis Bangsa-bangsa Bersatu bagi Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), Alan Greenspan, Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antabangsa (ILO), Gilbert Houngbo, Ketua Pengarah Bank Pembayaran Antarabangsa (BIS), Pablo Hernandez de Cos, Presiden Dewan Stabiliti Kewangan (FSB), Andrew Bailey, Gabenor Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB), Jin Liqun, dan Naib Ketua Setiausaha Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan  Ekonomi (OECD), František Ruzicka.