BANGKOK, 1 Julai — Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra merombak barisan Kabinetnya susulan pergolakan dalam pakatan pemerintah berikutan penarikan diri parti kedua terbesar dalam gabungan politik utama kerajaan dan kekosongan dalam portfolio menteri.
Dalam barisan Kabinet baharu yang diterbitkan dalam Warta Diraja, terdapat 14 pelantikan baharu manakala enam menteri tugaskan semula ke portfolio baharu.
Paetongtarn akan memegang peranan tambahan sebagai Menteri Kebudayaan.
Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai pula bertukar portfolio daripada Kementerian Pertahanan untuk mengetuai Kementerian Dalam Negeri. Setakat ini, belum ada pengganti dinamakan bagi portfolio pertahanan.
Perubahan ketara dalam rombakan itu termasuk Sudawan Wangsuphakitkosol sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi; Attakorn Sirilathayakorn sebagai Menteri Pertanian dan Koperasi; serta Narumon Pinyosinwat sebagai Menteri Pendidikan.
Muka baharu dalam Kabinet termasuk Jatuporn Buruspat sebagai Menteri Perdagangan dan Pongkawin Juangroongruangkit sebagai Menteri Buruh.
Senarai Kabinet baharu itu diterbitkan dalam Warta Diraja pada Selasa (1 Julai), dengan upacara angkat sumpah dijangka diadakan pada 3 Julai.
Rombakan Kabinet itu dibuat selepas Parti Bhumjaithai, rakan dalam gabungan politik utama pemerintah, menarik balik sokongan pada 18 Jun dengan alasan tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan yang didakwa menjejaskan kedaulatan Thailand.
Kesemua lapan menteri daripada Parti Bhumjaithai meletak jawatan berkuat kuasa 19 Jun.
Walaupun Bhumjaithai menarik diri, gabungan yang dipimpin Parti Pheu Thai masih mengekalkan majoriti dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 500 kerusi, sekali gus memastikan kestabilan pemerintahan berterusan.
Tinggalkan Balasan