Prabowo Puji Sokongan China Terhadap Palestin

JAKARTA, 25 Mei — Presiden Indonesia Prabowo Subianto memuji sokongan China terhadap negara-negara membangun serta pendirian konsisten negara itu dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

“Sehingga kini, kepimpinan China — khususnya dalam mempertahankan hak rakyat Palestin — terus menjadi sumber inspirasi kepada kita semua,” katanya semasa Majlis Resepsi Perniagaan Indonesia–China 2025 yang berlangsung di Jakarta Pusat, Sabtu malam.

Majlis anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia (KADIN) itu turut dihadiri Perdana Menteri China Li Qiang, yang tiba di Indonesia pada Sabtu bagi lawatan rasmi selama tiga hari.

Dalam pada itu, Prabowo turut menekankan kepentingan strategik hubungan Indonesia-China, menyifatkannya sebagai kunci dalam memelihara keamanan dan kestabilan serantau.

“Hubungan antara Indonesia dan China sangat strategik, amat penting dan penuh harapan, dengan potensi membentuk keamanan serta kestabilan di seluruh rantau kita,” katanya.

Beliau turut memuji ketamadunan kuno dan nilai budaya China yang mengutamakan “kebaikan dan manfaat bersama” serta usaha negara itu dalam menjamin keamanan dan keharmonian sejagat.

Prabowo turut mengiktiraf sokongan bersejarah China terhadap gerakan pembebasan global, meskipun negara itu masih dalam fasa awal pembangunannya, dan menyatakan kekaguman terhadap penentangan China yang berterusan terhadap penindasan, imperialisme, kolonialisme dan aparteid.

Dalam masa sama, beliau mengulangi komitmennya untuk mempererat hubungan dengan China dengan menekankan keperluan memperluas kerjasama melangkaui bidang perdagangan — termasuk dalam pendidikan, penjagaan kesihatan, pelancongan dan penyelidikan saintifik — memandangkan jumlah dagangan tahunan dua hala melebihi US$130 bilion.

Menurut kenyataan rasmi Sekretariat Presiden, Prabowo sekali lagi menegaskan komitmen beliau untuk terus memelihara serta memajukan hubungan dua hala yang sedia terjalin.

“Hubungan kita tidak seharusnya terbatas kepada aspek ekonomi semata-mata. Kita perlu mempererat persahabatan dan bekerjasama merentas semua sektor,” katanya.