JAKARTA, 13 Sept — Presiden Indonesia Prabowo Subianto menggesa solidariti antarabangsa susulan serangan Israel ke atas ibu negara Qatar, Doha, sambil memberi amaran bahawa serangan itu mengancam kestabilan Asia Barat.
Beliau membuat gesaan itu semasa pertemuan pada Jumaat dengan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani di Istana Lusail, Doha, beberapa hari selepas serangan 9 Sept yang menerima kecaman meluas.
Dalam satu kenyataan, Biro Sekretariat Presiden berkata Prabowo menyeru “negara-negara sahabat untuk memainkan peranan aktif dalam mengekalkan keseimbangan geopolitik dan mempromosikan dialog antarabangsa.”
Beliau turut mengulangi sokongan Indonesia terhadap kedaulatan Qatar serta menggesa masyarakat antarabangsa mengecam sebarang pencerobohan yang membahayakan orang awam.
“Diplomasi berasaskan kemanusiaan, keadilan dan keamanan adalah komponen penting bagi masa depan yang lebih stabil,” menurut kenyataan itu.
Sheikh Tamim menyambut baik sokongan Jakarta dan berikrar untuk memperkukuh kerjasama dengan Indonesia dalam isu global dan kemanusiaan, menurut kenyataan itu.
Antara pemimpin yang telah melawat Qatar sejak serangan itu termasuk Presiden Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Presiden Rwanda Paul Kagame dan Perdana Menteri Hungary Viktor Orban.
Israel melancarkan serangan ke atas bangunan kediaman di Doha pada Selasa lalu, menyasarkan beberapa anggota Biro Politik Hamas ketika kumpulan itu mengadakan rundingan mengenai cadangan gencatan senjata terbaharu dan pertukaran tahanan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Tinggalkan Balasan