Presiden Iran Tetapkan Syarat Untuk Tamatkan Perang

TEHRAN, 12 Mac — Presiden Masoud Pezeshkian mengumumkan beberapa syarat untuk menamatkan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atasnya negaranya yang sedang berlangsung, ketika kedua-dua negara itu terus melancarkan serangan udara ke atas infrastruktur penting Iran, orang awam dan monumen bersejarah, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).

Dalam satu hantaran di akaun X miliknya lewat Rabu, Pezeshkian berkata beliau mengadakan perbincangan dengan pemimpin Rusia dan Pakistan serta menegaskan komitmen Iran terhadap keamanan di rantau itu.

“Satu-satunya cara untuk menamatkan perang ini, yang dicetuskan oleh rejim Zionis dan AS ialah dengan mengiktiraf hak sah Iran, pembayaran pampasan, serta jaminan antarabangsa yang kukuh bagi menghalang pencerobohan pada masa hadapan,” katanya.

Presiden Iran itu berkongsi hantaran itu selepas mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan Presiden Vladimir Putin dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif.

Amerika Syarikat dan Israel dilaporkan melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari, yang menurut laporan membawa kepada kematian Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei, beberapa komander tertinggi tentera serta orang awam.