Bertepatan dengan lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Kemboja, program ‘Kisah Tinta Klasik Pilihan Xi Jinping’ versi bahasa Kemboja dilancarkan dalam satu majlis yang berlangsung di Phnom Penh pada Khamis.

Diterbitkan oleh Kumpulan Media China (CMG), program itu menghimpunkan petikan karya klasik dan kata-kata hikmat yang digunakan Xi dengan memberi tumpuan kepada aspek perlindungan ekologi, pemeliharaan budaya, interaksi dan saling belajar sesama tamadun, usaha modenisasi dan lain-lain.
Program berkenaan membolehkan masyarakat Kemboja mendalami budaya tradisi China yang gemilang dan memahami falsafah pentadbiran Presiden Xi.

Presiden Parti Rakyat Kemboja (CPP) dan Presiden Senat, Samdech Techo Hun Sen menerusi perutusan tahniah berkata penyiaran program itu akan terus menyuntik kekuatan untuk memupuk rasa saling memahami antara kedua-dua negara, dan memberi inspirasi kepada penyelesaian isu-isu hangat yang dihadapi dunia.

Sementara itu, Presiden CMG Shen Haixiong menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pelbagai lapisan masyarakat Kemboja demi memperkasa kolaborasi, merancakkan lagi pertukaran sosiobudaya dan membekalkan kedinamikan kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Kemboja.
Tinggalkan Balasan