HAIKOU, 19 Julai — Dua wilayah selatan China, Hainan dan Guangdong, diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga apabila Taufan Wipha memasuki Laut China Selatan, membawa angin kencang dan hujan lebat ke kawasan berkenaan, lapor Xinhua.
Wilayah Hainan mengaktifkan tindak balas kecemasan Tahap IV pada 9 pagi Sabtu, manakala Guangdong menaikkan tahap responsnya daripada Tahap IV kepada Tahap II pada 11 pagi.
Menurut Perkhidmatan Meteorologi Hainan, Taufan Wipha telah meningkat daripada ribut tropika kepada ribut tropika kuat pada awal pagi Sabtu. Pada 8 pagi, pusat taufan itu dikesan di timur laut Laut China Selatan, kira-kira 930 kilometer ke timur Bandar Wenchang di Hainan.
Agensi itu menjangkakan Wipha sedang bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan kira-kira 20 kilometer sejam sambil terus menguat. Ia sedang menghampiri kawasan pesisir dari Shenzhen di Guangdong hingga ke Wenchang di Hainan, dan dijangka membadai daratan antara petang hingga malam Ahad.
Akibat kesannya, dari Sabtu hingga 22 Julai, kebanyakan kawasan laut dan daratan di Hainan akan mengalami hujan lebat dan angin kencang. Selain itu, Selat Qiongzhou yang menghubungkan Guangdong dan Hainan dijangka mengalami penggantungan perkhidmatan perkapalan yang berpanjangan dari Ahad hingga 22 Julai.
Ibu negeri Hainan, Haikou, dijangka mengalami banjir serius, manakala Guangdong pula bersiap sedia menghadapi ribut petir, angin kencang dan ombak besar.
Selain itu, Guangdong juga telah menempatkan kapal penyelamat khas, helikopter, kapal tunda berkuasa tinggi serta kapal pembersih dalam keadaan siap sedia.
China mempunyai sistem tindak balas kecemasan empat peringkat bagi taufan, dengan Tahap I merupakan tahap paling kritikal.
Tinggalkan Balasan