Rakyat Singapura Di Mexico Digesa Kekal Berwaspada Susulan Kebimbangan Keselamatan

SINGAPURA, 25 Feb — Rakyat Singapura di Mexico dinasihatkan supaya meningkatkan tahap berhati-hati dan terus berwaspada terhadap perkembangan terkini di negara itu, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar.

Dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada Selasa, kementerian itu memaklumkan rakyat Singapura di Mexico perlu memantau berita tempatan, mengelak perjalanan ke negeri berisiko tinggi, mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan serta mengelak kawasan tumpuan orang ramai, protes dan demonstrasi.

“Mereka perlu mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu, memahami undang-undang tempatan serta membeli insurans perjalanan dan perubatan yang komprehensif.

“Rakyat Singapura sangat digalakkan untuk mendaftar dengan Kementerian Hal Ehwal Luar melalui eRegister di eregister.mfa.gov.sg dan terus berhubung dengan keluarga serta rakan,” menurut kenyataan itu.

Nasihat berkenaan dikeluarkan susulan laporan insiden keselamatan di beberapa negeri di Mexico, termasuk Jalisco, Tamaulipas, Michoacan, Guerrero dan Nuevo Leon.