Ramalan Hujan Lebat Landa Korea Selatan

SEOUL, 3 Ogos — Hujan lebat dijangka melanda kebanyakan wilayah di Korea Selatan pada Ahad, dengan jumlah taburan mencecah sehingga 150 milimeter diramalkan di kawasan selatan sehingga Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan agensi cuaca negara itu.

Menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA), hujan akan mula melanda wilayah barat daya dan Pulau Jeju pada siang hari, sebelum bergerak ke arah tenggara dan kawasan tengah secara berperingkat, seterusnya meliputi hampir seluruh negara kecuali kawasan berhampiran Laut Timur.

Taburan hujan berterusan dijangka memberi kesan ketara kepada kawasan selatan termasuk bandar pelabuhan Busan yang diramal menerima sehingga 150 milimeter hujan, manakala bandar pentadbiran Sejong serta wilayah tengah dijangka menerima sehingga 100 milimeter.

Hujan lebat dengan intensiti antara 50 hingga 80 milimeter sejam turut dijangka pada waktu malam di sepanjang pantai selatan Wilayah Jeolla Selatan, kawasan sekitar Gunung Jiri dan kawasan pergunungan Jeju.

Selain itu, angin kencang dengan kelajuan melebihi 20 meter sesaat dijangka melanda pantai barat Jeolla Selatan menjelang lewat hari ini.

“Penduduk dinasihatkan agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca semasa, menghadkan aktiviti luar, dan menjauhi kawasan berisiko seperti tebing sungai, cerun bukit serta kawasan tanah rendah,” menurut seorang pegawai tempatan.

Korea Selatan sebelum ini dilanda hujan lebat dan tanah runtuh pada bulan lalu yang mengorbankan 23 nyawa, manakala lima orang masih hilang di seluruh negara.

KMA turut menjangkakan suhu maksimum siang hari berada antara 29 hingga 34 darjah Celsius.