Ribut Landa Wilayah Timur Laut AS, Jejas Ribuan Penerbangan

NEW YORK, 28 Dis — Ribut melanda wilayah Timur Laut dan Great Lakes Amerika Syarikat (AS) dari petang Jumaat hingga Sabtu, membawa salji tebal, melumpuhkan perjalanan musim cuti dan menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik, lapor Xinhua.

Setakat 2 petang waktu Timur Sabtu, lebih 5,580 penerbangan  mengalami kelewatan manakala sekurang-kurangnya 860 penerbangan dibatalkan, menurut perkhidmatan penjejakan penerbangan FlightAware.

Kelewatan dan pembatalan penerbangan di AS terus meningkat akibat cuaca buruk, dengan tiga lapangan terbang utama di kawasan metropolitan New York antara yang paling terjejas.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan menganggarkan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di New York ditangguhkan purata kira-kira dua jam pada pagi Sabtu.

Amaran ribut musim sejuk meliputi kawasan dari New York hingga Philadelphia, dengan pengembara dan penduduk dinasihatkan supaya berwaspada.

Ribut itu berlaku menjelang hari paling sibuk bagi perjalanan musim cuti, dengan 2.86 juta pengembara dijangka menggunakan perkhidmatan penerbangan pada Ahad, menurut data Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan.

Gabenor New York dan New Jersey mengisytiharkan darurat, sambil menggesa pengembara memantau keadaan cuaca dan penutupan jalan raya serta mematuhi protokol keselamatan.

Di Michigan, lebih 30,000 rumah dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik pada pagi Sabtu.