Rundingan Ekonomi dan Perdagangan China-AS Berlangsung di Stockholm

Pihak Amerika Syarikat (AS) dinasihat bekerjasama dengan China untuk terus meningkatkan persepakatan, mengurangkan salah faham, mempergiat kerjasama, serta meningkatkan dialog dan perundingan, demi mencapai lebih banyak hasil yang saling menguntungkan, kata Naib Perdana Menteri China He Lifeng di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, hubungan ekonomi dan perdagangan yang stabil, sihat dan mampan antara China dan AS bukan sekadar sesuai dengan sasaran pembangunan negara masing-masing, malah juga menyumbang kepada pembangunan dan kestabilan pertumbuhan ekonomi dunia.

He Lifeng membuat kenyataan tersebut sempena rundingan ekonomi dan perdagangan China-AS pusingan baharu yang diadakan di Stockholm, Sweden dari Isnin hingga Selasa, bersama-sama ketua pihak AS, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer.

Berdasarkan konsensus yang dicapai dalam rundingan itu, kedua-dua pihak akan terus mendorong pelanjutan penggantungan 24 peratus tarif oleh pihak AS serta langkah setimbal oleh pihak China untuk 90 hari lagi, mengikut jadual.

He Lifeng berkata, inti pati hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS adalah saling menguntungkan dan menang-menang. Kedua-dua pihak mempunyai kepentingan bersama dan ruang kerjasama yang luas dalam bidang berkenaan.

Beliau menekankan bahawa pendirian China dalam hubungan ekonomi dan perdagangan dengan AS adalah konsisten. Kedua-dua pihak harus terus melaksanakan persepakatan penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, di samping menggunakan mekanisme rundingan ekonomi dan perdagangan dengan baik.

Pihak AS mengaku bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan AS-China yang stabil amat penting bagi kedua-dua negara bahkan dunia. 

Oleh itu, AS bersedia berganding bahu dengan China untuk mempromosikan penyelesaian pertikaian ekonomi dan perdagangan melalui mekanisme rundingan, mendorong lebih banyak hasil rundingan dicapai, di samping terus memantapkan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan China.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda