SCO Harus Jadi Model dalam Laksanakan GGI – Xi

Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) harus berperanan sebagai peneraju dan model dalam melaksanakan Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI).

Presiden China Xi Jinping membuat kenyatan itu ketika berucap pada Mesyuarat ‘SCO Plus’ yang dipengerusikan beliau di Pusat Pameran dan Konvensyen Meijiang sempena Sidang Kemuncak SCO 2025 di Tianjin, pada Isnin.

Xi berkata prinsip tidak bersekutu, tidak berkonfrontasi dan tidak menyasarkan pihak ketiga perlu terus dijunjung. 

Katanya usaha harus dipergiat ke arah membina komuniti berkongsi keselamatan di rantau ini, sehingga menjadi pemantap kestabilan di dunia.

Beliau memaklumkan, China akan menubuhkan tiga platform utama untuk kerjasama China-SCO dalam bidang tenaga, perindustrian hijau dan ekonomi digital, selain mendirikan tiga pusat kolaborasi membabitkan inovasi teknologi, pendidikan tinggi serta pendidikan vokasional dan teknikal.

China sudi membangunkan pusat kerjasama pengaplikasian kecerdasan buatan (AI) bersama dengan semua pihak, dan berkongsi hasil kemajuan dijana oleh AI. 

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan semua untuk menggunakan Sistem Navigasi Satelit Beidou dan mengambil bahagian dalam projek Stesen Penyelidikan Bulan Antarabangsa.

Xi memaklumkan, dalam tempoh lima tahun mendatang, China akan merawat seramai 500 pesakit yang mengalami kecacatan jantung kongenital (CHD), melakukan sebanyak 5,000 pembedahan katarak mata, dan menjalankan 10,000 saringan kanser untuk negara anggota SCO yang lain.

Presiden Xi turut menyatakan bahawa China menyokong SCO memperluas kerjasama dengan mekanisme pelbagai hala, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN dan Persidangan mengenai Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA), serta bersama-sama menjaga orde dagangan antarabangsa dan membaiki tadbir urus global dan serantau.